DARULAMAN TRAILS CABARAN BAHARU

Written by Super User. Posted in Utama

1darulaman

JITRA 1 Julai - Projek terbaru Bina Darulaman Berhad iaitu Darulaman Trails yang dijangka siap sepenuhnya Ogos depan pasti mengujakan peminat basikal di utara tanah air, di sini.

Jamhusnor Sdn Bhd, iaitu syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan projek ini sudah menyiapkan hampir 80 peratus pembinaan trek di kawasan itu.

Pengarahnya, Md Nasron Md Noor berkata, setakat ini trek berbasikal dan mendaki sudah siap sepenuhnya serta sedia digunakan oleh orang ramai.

"Manakala trek basikal bagi downhill/freeride masih dalam pembinaan.

"Sekarang pula kerap hujan dan kerja membentuk trek sedikit terbatas," katanya.

Md Nasron yang aktif dalam sukan berbasikal Mountain Bike sejak 2008 berkata, Darulaman Trails ini dibina di Bukit Nara yang berketinggian kira-kira 110 meter dari paras laut.

Menurutnya, kerja-kerja membina trek dilakukan secara manual dengan kekuatan tenaga seramai enam orang termasuk dirinya yang mana setiap dua orang mempunyai tugas masing-masing.

“Pasukan ini kita kenali sebagai pembina trek dan yang uniknya kita tak boleh guna buruh kasar seperti bina bangunan, tetapi memerlukan kepakaran orang yang bermain basikal," katanya.

Katanya, mereka bergerak dalam kumpulan yang mana dua orang di hadapan akan menanda pokok dan dua lain di belakang akan menebas dahan sementara dua yang terakhir bertindak sebagai pembersih laluan.

“Setelah laluan berkenaan siap, kita akan mencuba sendiri sebagai permulaan sebelum dibuka kepada orang ramai untuk memastikan kelancaran laluan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya cuaca mengizinkan, pasukan berkenaan dapat menyiapkan trek sepanjang 500 meter dalam masa dua minggu.

“Kita tidak menggunakan sebarang mesin untuk menebas atau memotong dahan pokok, semuanya dilakukan sendiri," katanya.

Makan masa berhari-hari

Md Nasron berkata, meneroka hutan untuk membina trek bukan perkara mudah, malah memakan masa berhari-hari.

“Cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan reka bentuk trek di sini ialah keadaan bukitnya yang tidak terlalu tinggi.

"Jadi ruang yang kami ada sangat terhad untuk reka trek yang sempurna," katanya.

Katanya, dalam mereka bentuk trek, mereka perlu tahu apa daya tarikan di situ dan mengenal pasti unsur semula jadi yang ada di setiap sudut bukit untuk dimanipulasi sebagai tarikan.

“Di Bukit Nara ini, ada tulisan besar di atasnya yang tertulis Darulaman Hills. Jadi saya terfikir, kenapa tidak jika saya bina trek yang lalu sama ada di atas, di bawah, depan atau belakang tulisan tersebut,” katanya.

Katanya, idea itu datang selepas melihat kecenderungan masyarakat bergambar di sebarang mercu tanda bagi berkongsi detik indah mereka.

“Untuk merealisasikan impian itu, kami perlu ambil kira kecerunannya. Bila masuk ke dalam hutan pula, kami jumpa beberapa lokasi yang menyajikan pemandangan indah seperti pemandangan yang menghala ke tasik baharu BDB di Taman Tunku Intan Shafinaz," katanya.

Tambahnya, dalam pembinaan trek ini, masuk sahaja hutan akan terjumpa batuan yang cantik dan sebagai tarikan, trek akan dibina melalui batuan terbabit.

“Pendek kata, nak bina trek basikal bukannya kerja mudah sebab kita perlu teroka sebuah hutan sambil mencari tarikan semulajadinya.

"Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha dan minat, trek di Bandar Darulaman ini berjaya juga direalisasikan," katanya.

Menurutnya, keseluruhannya terdapat tiga trek di sini iaitu trek berbasikal cross country atau enduro yang mempunyai dua lingkaran iaitu sepanjang tiga kilometer dan empat kilometer, kedua, trek berbasikal downhill/freeride sepanjang 1.2 kilometer dan ketiga trek larian yang dibahagikan kepada tiga lingkaran iaitu tiga kilometer, empat kilometer dan lima kilometer.

“Saya yakin, trek ini pasti menawarkan pengalaman yang berharga buat peminat berbasikal, apatah lagi ini merupakan satu-satunya trek berbasikal yang ada di Kedah,” akhirinya yang juga mempunyai pengalaman membina trek berbasikal untuk Sukan Malaysia (Sukma) Perlis, 2014.

Oleh : Roshila Murni Rosli

Sumber : Sinar

   

Pautan

Lambang Kedah kecik1malaysia pngmscmygoverment pngmampu1jpa pnghrmis pnggov

Media

 

Video Audio


       

 

Pelawat

197864
Bulan IniBulan Ini714

Kemaskini

Last Update:
General update: 12-12-2017 06:04

QR KOD

 Scan QR Code Anda Di sini