ISU TEKNIKAL PUNCA UBAT KURANG

Written by Super User. Posted in Berita Terkini

18isu

ALOR SETAR 18 Ogos - Kekurangan bekalan ubat tertentu di hospital kerajaan adalah disebabkan pembekal tidak dapat menghantar bekalan pada masa ditetapkan.

Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kadang-kala berlaku kekurangan bekalan ubat-ubat tertentu tetapi bukan disebabkan peruntukan tidak mencukupi.

“Masalah teknikal yang menyebabkan ubat-ubat termasuk ubat penyakit kronik yang dipesan tidak dapat dibekalkan pada masa ditetapkan.

“Bagaimanapun, pihak pembekal memberi jaminan bahawa masalah ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika menggulung perbahasan dalam Persidangan Dun Kedah, di sini, semalam

Menurutnya, peruntukan untuk pembelian ubat-ubatan bagi tahun 2017 diterima secara berperingkat.

"Awal tahun, sebanyak RM90.9 juta dan tambahan sebanyak RM15.1 juta dan terkini tambahan kedua sebanyak RM29 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Adun Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Pas-Tokai) dan Dr Krishnamoorthy Rajanaidu (PKR- Bukit Selambau).

Sementara itu, Yong Kong berkata, kelewatan menjalankan bedah siasat bukan berpunca daripada ketiadaan doktor forensik sebaliknya disebabkan beberapa faktor lain.

Menurutnya, kelewatan berlaku dalam beberapa keadaan khususnya melibatkan kes polis.

“Antaranya polis perlu siasatan lebih mendalam di tempat kejadian, identiti mayat tidak dapat ditentukan dengan sahih, pakar forensik perlu menjalankan siasatan tempat jenayah (CSI), mayat kes rumit di mana mayat perlu dipindahkan ke HSB atau waris sendiri berdolak-dalik menghalang bedah siasat.

“Kelewatan juga berlaku jika pakar dan pegawai perubatan forensik sibuk dengan kes bunuh atau terdapat kes di Unit Kecemasan atau sibuk merawat pesakit,”katanya.

Menjawab soalan tambahan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) yang membangkitkan tiada pakar forensik di Hospital Langkawi mengakibatkan dua kes di Langkawi lambat bedah siasat dan disensasikan oleh media.

Katanya, Kedah mempunyai dua pakar forensik dan ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dibantu tujuh pegawai perubatan ditempatkan di HSB, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Langkawi.

“Bagi lain-lain hospital, bedah siasat kes tidak rumit akan dijalankan oleh pegawai perubatan sama ada dari unit kecemasan atau dari wad apabila pegawai perubatan forensik bercuti.

“Perkhidmatan bedah siasat dalam masa 24 jam bagi kes tidak rumit seperti kes kemalangan jalan raya atau kematian mengejut.

"Sementara, kes rumit seperti kes bunuh, mayat rentung, kematian ibu mengandung, HIV akan dijalankan pada siang hari setelah penerangan diberi kepada keluarga," katanya.

Justeru, Adun Gurun itu berkata dakwaan tiada doktor untuk menjalankan bedah siasat adalah kurang tepat.

“Penangguhan bedah siasat ke waktu siang hanya dilakukan setelah waris terdekat bersetuju,”katanya.

Sumber : Sinar

PERDANA MENTERI LANCAR DIGITAL LANGKAWI

Written by Super User. Posted in Berita Terkini

19perdana

LANGKAWI 19 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancar Digital Langkawi dalam usaha menambahbaik kemudahan berteknologi tinggi di pusat pelancongan terkemuka negara itu bagi kemudahan rakyat dan pelancong.

Majlis pelancaran itu berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini sempena Karnival Digital Langkawi berlangsung dua hari bermula hari ini.

Inisiatif yang dibangunkan dengan peruntukan kerajaan lebih RM200 juta ini membolehkan Langkawi menerima penaiktarafan dua kabel dasar laut.

Ia turut melibatkan pembinaan 10 menara telekomunikasi baharu dan perhubungan 47 menara telekomunikasi melalui Kabel gentian fiber sepanjang 152 kilometer di seluruh Langkawi.

Menerusi inisiatif ini, kelajuan dan liputan selain penyediaan liputan rangkaian 4G LTE ditingkatkan di Langkawi yang mempunyai kemudahan 99% liputan 2G, 95% liputan 3G.

Turut dilancarkan Perdana Menteri, inisiatif terbaharu yang diperkenalkan di Langkawi, ‘Cashless @ School’.

Ia merupakan projek rintis oleh Payment Networks (PayNet) iaitu satu sistem pembayaran tanpa wang tunai di lapan sekolah di Langkawi ini.

Oleh : Jamliah Abdullah

Sumber : Utusan

BAS RAPID UNTUK RAKYAT KEDAH

Written by Super User. Posted in Berita Terkini

13bas

ALOR SETAR 13 Ogos - Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyediakan perkhidmatan bas Rapid di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Beliau berkata perkhidmatan bas itu sekali gus dapat memudahkan pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ntuk sampai ke destinasi yang dituju.

"Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan komuter terutamanya penjawat awam yang berulang alik dari Pulau Pinang dan Perlis ke Alor Setar, tetapi apa yang menjadi masalah ialah apabila hendak ke destinasi mereka dari stesen komuter.

"Jadi kita sedang berusaha untuk memasukkan perkhidmatan bas Rapid ke Kedah. Contohnya pengguna boleh menaiki bas yang disediakan di Stesen Alor Setar untuk terus ke UiTM Merbok," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Naik Komuter di sini hari ini.

Terdahulu beliau menaiki komuter dari Stesen Sungai Petani ke Stesen Alor Setar sebagai antara usaha menggalakkan rakyat Kedah menggunakan perkhidmatan komuter.

Tajul Urus juga berkata beliau telah meminta KTMB untuk menambah jumlah koc komuter berikutan jumlah tiga koc yang sedia ada tidak mencukupi terutama ketika hari kemuncak dari Khamis hingga Ahad.

"Koc sedia ada tidak cukup jadi kita harap pihak KTMB dapat menambah jumlah koc bagi menampung jumlah pengguna KTM komuter di Kedah," katanya.

Sumber : Sinar

HOSPITAL PENDANG BUKAN 'GULA - GULA' PILIHANRAYA

Written by Super User. Posted in Berita Terkini

 Ahmad Bashah Md Hanipah

PENDANG - Pembinaan hospital baharu di Pendang tetap akan dilaksanakan kerajaan seperti yang dijanjikan sebelum ini dan bukannya ia bukannya sekadar ‘gula-gula’ pilihan raya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan sering menerima tuduhan seperti ini, namun rakyat perlu faham untuk membina sebuah hospital memerlukan penelitian dari segi kos dan peruntukan serta pelbagai sudut lain.

“Namun kerajaan tidak akan menoleh ke belakang dan akan memastikan hospital ini akan terbina dan tender akan dikeluarkan pada September ini kerana telah mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Hari Raya Muafakat Dun Sungai Tiang, di Pusat Khidmat Dun itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad serta kepimpinan Umno bahagian Pendang.

Untuk rekod, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hospital Pendang antara enam hospital baharu yang akan dibina selain di Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran dan Baling.

Hospital yang dijangka menelan kos RM220 juta itu akan dilengkapi 250 katil dengan 11 kepakaran antaranya pediatrik, ortopedik, kecemasan dan trauma, patologi serta radiologi, dijangka akan dibina di Kampung Banggol Pauh, di sini.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, sokongan rakyat kepada Umno di daerah ini masih utuh dan padu apabila ribuan rakyat pelbagai kaum hadir pada setiap majlis yang dianjurkan.

“Ini menunjukkan rakyat terus bersama-sama kita memberi sokongan kepada Adun di kawasan mereka, ini satu petanda yang baik bahawa orang ramai masih lagi sayang dan membantu ahli yang berhormat masing-masing,” katanya.

Katanya, jika rakyat saling membantu pemimpin dan sentiasa bermuafakat, apa sahaja cabaran yang dihadapi dapat disempurnakan dengan baik dan hasilnya dapat dirasai keseluruhan rakyat. - Bernama

PROJEK KIFT TIDAK TERGENDALA

Written by Super User. Posted in Berita Terkini

23projek

ALOR SETAR 23 Julai - Exco Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail membidas kenyataan pembangkang yang menyifatkan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang dibangunkan di Tebengau, Kuala Kedah tidak memberi impak besar kepada penduduk sekitar.

Katanya, KIFT bukannya berkubur sebaliknya proses awalan kerja dilakukan secara terperinci berikutan projek mega itu melibatkan pelaburan luar yang tinggi.

“KIFT sepatutnya sudah boleh dimulakan kerja-kerja awalan. Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah teknikal di pihak syarikat pelabur dari China, Lu Hai Feng. Masih ada beberapa syarat tertentu yang perlu mereka tunaikan sebelum dibenarkan memulakan projek,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja syarat berkenaan dapat diselesaikan, kerja-kerja awalan seperti menyediakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) akan diteruskan.

“Projek usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) ini bukannya tergendala. Bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah lakukan segalanya termasuk mendapatkan kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya.

Ku Abd Rahman berkata, syarikat Lu Hai Feng tidak menyatakan tempoh masa diperlukan, namun akan segera menyelesaikan isu berkaitan teknikal terbabit.

“Kita lakukan secara berperingkat, kita dah beri kelulusan secara prinsip termasuk syarat-syaratnya. Bergantung kepada mereka untuk penuhi syarat, namun ia bukanlah masalah besar kerana syarikat itu berjaya membangunkan projek sama di Qingdao,” katanya.

Sebelum ini, Pas Kedah mempersoal kewajaran pembangunan projek itu yang dikatakan projek di luar kotak atau realiti berikutan menelan belanja lebih RM3 bilion.

Projek KIFT diumumkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2 November 2015, dengan pelaburan berjumlah RM3 bilion dari Qingdao, China.

Sumber : Sinar

Pautan

Lambang Kedah kecik1malaysia pngmscmygoverment pngmampu1jpa pnghrmis pnggov

Media

 

Video Audio


       

 

Pelawat

192185
Bulan IniBulan Ini1087

Kemaskini

Last Update:
General update: 21-08-2017 07:25

QR KOD

 Scan QR Code Anda Di sini